
Saudara-saudara kita di Palestin telah melalui sejarah panjang duka dan derita akibat peperangan yang berterusan. Sehingga kini, belum ada tanda-tanda bahawa penindasan dan kekejaman akan menemui titik noktah dalam masa terdekat. Pada masa yang sama, rakyat Palestin terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan duri kehidupan semata-mata untuk meneruskan kehidupan kerana kekurangan bekalan makanan asasi, terutamanya gandum, kesan daripada sekatan dan deskriminasi oleh pihak berkuasa Israel.


Begitu juga nasib saudara-saudara kita di Yogyakarta dan Acheh, dimana bencana gempabumi dan tsunami telah banyak memusnahkan tempat-tempat perlindungan mereka mahupun sumber-sumber mata pencarian mereka. Ternyata, kehidupan mereka bukan sahaja dicengkam dengan perasaan takut dan trauma, bahkan mereka turut dihantui derita kelaparan.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“ Manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat dalam keadaan setelanjang-telanjangnya, selapar-laparnya, sedahaga-dahaganya, dan sepenat-penatnya, tidak pernah mereka merasakan serupa itu di mana-mana sebelum itu.
Maka barangsiapa yang memberi pakaian (kepada orang yang memerlukannya) kerana Allah, nescaya Allah akan memberinya pakaian kelak di waktu itu. Barangsiapa yang memberi makan kerana Allah, nescaya Allah akan memberinya makan, dan barangsiapa yang memberi minum kerana Allah, nescaya Allah akan memberinya minum pula”.

No comments:
Post a Comment